CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, 12 October 2011

oa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan

بسم الله الرحمن الرحيم

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku



DOA MURAH REZEKI ~wajar diamalkan setiap waktu…

Ya Allah,sekiranya rezeki kami berada di langit,maka turunkanlah ia;
jika ia ada dibumi,keluarkanlah ia,dan jika ia ada didalam lautan,munculkanlah.
Sekiranya rezeki kam ada di tempat yang jauh,dekatkanlah ia, jika ia sedikit, banyakkanlah ia;dan jika caranya sukar untuk sampai kepada kami,
mudahkanlah ia,
serta pindahkanlah rezeki tersebut kepada kami dengan kemuliaan,
kepemurahan dan kebaikanMu,dengan rahmatMu,
wahai Yang Maha Pengasihi diantara yang pengasih.
Aminnn...

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian" (Surah Al-Ashr:1&2)

Subhanallah wa Bihamdihi, Subhanallahil ‘Azim, Astaghfirullah..

Muqaddimah
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

Pedomanku
"Berikan kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya akan diberikan keampunan" (Riwayat Imam Ahmad)

  • Madahku

    "kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka. Kemaafan yang diberi secara ikhlas umpama pisau bedah yang boleh membuang segala parut luka emosi"

  • Peganganku

    "Jika seseorang hadir dalam hidup kamu dan menjadi sebahagian daripada kamu, tetapi atas sebab tertentu dia terpaksa pergi, jangan terlalu sedih, terimalah kenyataan itu dan sekurang-kurangnya dia pernah membahagiakan kamu."

  • Kata-kata semangat

    "Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi"

  • Firman ALLAH SWT

    "Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)." (Surah Al-Balad: 4)

AlQuran

'Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada [pula] berduka cita. Mereka itulah penghuni-penghuni surga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.'
(Q.S Al-Ahqaf[46]:13-14)

AlHadits

"Barangsiapa yang ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: "Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu(Adam), dan anak hamba perempuanMu(Hawa), Ubun-ubunku ada ditanganMu, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, yang Engkau turunkan dalam kitabMu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib disisiMu. Hendaklah Engkau jadikan Al-Quran sebagai penentram hatiku, cahaya didadaku, pelenyap duka dan kesedihanku ". Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan."
(Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)

Monday, 10 October 2011

Antara Kasih,Sayang Dan Cinta

Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.
Kasih..
Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”. Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hambaNya. Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hambaNya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang. Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.
Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang. Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan. Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.
Sayang..
Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.
Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.
Cinta..
Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.
Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.
Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.

Jauhkan Aku Dari Rindu Yang Melalaikan

Rindu ALLAH


Bila rindu kembali menjengah,

Menyusup datang melalui sekeping gambar,

Begitu terasa bibirku bergetar,

Begitu terasa kakiku makin longlai.



Ku lihat pada jari-jemariku,

Menggigil dalam bahang tengah hari,

Ku sentuh pada bibirku,

kering mengelupas,

Ku letakkan tangan pada dadaku,

Degupannya menjadi deras.



Ku lihat wajahku dalam refleksi,

Warnanya pucat membiru,

Tiada kilauan dalam mata,

Tiada cahaya pada wajah.

Hanya kelesuan jelas kelihatan.



Yang lain menggelar rasa ini ‘cinta’,

Lalu mereka hairan aku menolak ‘cinta’,

Tapi aku pasti ianya adalah ‘petaka’ ,

kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,

Rindu ini rindu yang mencemarkan,

Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,

Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.



Rindu Illahi

Dahulu,

Jika rindu yang sama bertandang,

Akulah insan paling bahagia.

Kini,

Jika  rindu yang sama bertamu,

Akulah insan paling sengsara.

Aku tak mahukan rasa ini,

Aku tak mahukan rindu ini.

Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,

Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,

Rindu ini yang dahulu membutakan mataku  dari melihat jalan-Mu,

Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.

Rabbi,

Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,

kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.

Rabbi,

Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,

kerna aku takut pada bayangannya,

Kerna ku tahu jatuh cinta itu,

Hanya bisa pada Tuhan,

Kerna ku tahu nafsu ini,

Sering membawa ke arah kejahatan,

Yang datang dari godaan syaitan.

Rabbi,

Ku mohon,

Jauhkanlah aku dari ‘petaka’ rindu ini,

Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,

Cinta yang kekal dan abadi.

Hanya padamu ALLAH

Sunday, 9 October 2011

Duhai Hati,Janganlah Terkorban Dengan Dunia

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.
Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?
Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.
Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?
Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.
Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)
Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?
Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.
Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?
Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?
Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?
"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

Carilah Jalan Kembali

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." - Al-Maidah: Ayat 35
Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan.
Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah.
Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.
Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.
Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.
Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan.
Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.
Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan.
Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar.
Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material.
Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai.
Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.
Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.
Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah.
Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah.
Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.
Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.
Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54
Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya.
Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.
Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita.
Maka kita tak jadi kembali.
Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.
Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53
Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?
Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.
Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.
Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.

Kepadamu Wanita..Agar Dikau Bahagia

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.
Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-normanya dan menyucikan jiwanya.
Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.
Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi Rabb-Nya.
Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.
Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.
Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.
Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.
Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah (pengajaran), diammu adalah berfikir.
Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.
Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.
Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.